FESTIVAL MUZIK KL 2010 HIMPUNKAN KARYA TERBAIK PEMUZIK TANAHAIR

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia akan menganjurkan Festival Muzik Kuala Lumpur yang bakal berlangsung sepanjang Julai ini sempena Festival Kuala Lumpur.

Festival Muzik Kuala Lumpur ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan dalam usaha menyediakan peluang kepada para karyawan muzik untuk mempersembahkan karya terbaik mereka kepada masyarakat. Dalam kerancakan pelbagai pihak luar menganjurkan pelbagai konsert artis luar, JKKN sebaliknya mengiktiraf bakat pemuzik tanahair yang berbakat dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan hasil muzik bermutu untuk dikongsi dan dihayati bersama.


Penampilan Seniman Negara Dato' Ahmad Nawab dalam KL Music Fest 2

Dengan tema ‘Muzik Merentasi Sempadan’ atau ‘Music Crosses Boundaries’; Sidang Media pada hari ini akan menampilkan lapan (8) konsert pelbagai genre muzik serta persetujuan rasmi para artis dan pemuzik terlibat dalam festival untuk tahun ini. Festival yang menghimpunkan hampir seratus (100) orang penggiat seni muzik tempatan dan antarabangsa ini menjanjikan pelbagai kelainan untuk pencinta muzik tanahair sejajar dengan landasan JKKN untuk menyediakan peluang kepada para penggiat seni muzik untuk bereksperimen dengan teknologi dan elemen muzik tempatan. Bagi membolehkan kejayaan konsert-konsert ini, pelbagai penganjur dan penaja bersama turut terlibat. Antaranya Centre Stage Entertainment dan Persatuan Warga Cinta Negara (Pencinta) begitu juga dengan rakan lokasi iaitu Istana Budaya, Zoo Negara, Panggung Anniversari, KL Live Hall, Life Centre dan Plenary Hall, KLCC.

Konsert-konsert tersebut adalah Konsert Ella bersama Koir Kebangsaan, Konsert Gambus : Tradisi ke Fusion, Konsert Alam, Konsert Hujan Vs Bunkface, Konsert Akhir Rentak Juara RTM, Konsert Dir..Suara 1Malaysia oleh Koir Kebangsaan, Muzikal ‘Nanta Cooking’ dan Konsert Zainal 31st Green Anniversary Menara KL.

Antara artis-artis dan karyawan muzik terlibat untuk festival pada hari adalah seperti Ella, Orkestra Simfoni Kebangsaan, Ito Blues Gang, Fauziah Gambus, Anna Rafali, Azlan & Typewriter, Raja Zulkarnain, Istamuzika, Sashi, Kam, Jerry Kamit, Zainal Abidin, Kumpulan Babola (Orang Asli Gombak), Gamelan Gentarasa, Hujan, Bunkface, Koir Kebangsaan, Nanta (Korea) dan ramai lagi pemuzik amatur negara.